Cinta Si Ustazah Bulat (Bab Satu)



BAB
SATU
 "Jangan tinggalkan Abang!"

"Astagfirullah Al-Adzim! Ya Allah! Apa yang aku buat ni?" Bangkit aku daripada lena dibasahi keringat.

            Kenapa kata-kata itu sentiasa menghantui tidurku sejak kebelakangan ini? Mimpi kali ini didatangi bayangan kabur tubuh lelaki yang aku panggil "Abang" itu. Siapakah gerangan lelaki itu? Kalau tengok dari saiz badan dia memang sah bukan Abang Din. Aduhai!  Mamat mana pula ni? Mengarut je la minah comel seorang ni.. Tergeleng-geleng kepalaku memikirkan mimpi entah apa-apa itu.

            Teringatlah kembali Abang Din seorang ini. Nama itu masih lagi memberi kesan dalam hati kecil milik gadis bertubuh bulat ini. Seorang lelaki yang walau banyak kali telah dia lukakan hati ini tetapi kenangan dulu tetap menjadi tali yang mengikat aku dalam perhubungan yang tergantung ini. Namun, fikiran waras aku sentiasa membisikkan bahawa itu semua hanya tinggal kenangan dan antara kami tiada apa-apa lagi.

            " Sedarlah Wawa! Kau tak layak untuk dia. Berpijaklah di dunia yang nyata wahai Naezwa Ashyqin! " bentakku sambil menepuk kuat pipi tembamku ini.

            “Aww!” Mengaduh sendiri dengan perbuatanku yang membuatkan pipiku merah, aku terus menjatuhkan pandanganku ke arah jam loceng merah jambu di atas meja sisi katilku. Dengan mata yang masih kuyu melihat angka pada jam menunjukkan angka 6 tepat. Saat itu juga aku melompat dari katil dan terus memecut ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku dah lambat! Cepat-cepat aku melunaskan kewajipan yang belum selesai sebelum waktu solat subuh tamat. Dalam kamus hidupku, tiada istilah menqadakan solat dalam Islam kerana solat adalah wajib dilaksanakan dalam tempohnya. Oleh itu aku sentiasa mengingatkan diri aku untuk mendirikan solat pada awal waktu dan menghindarkan diri daripada melengah-lengahkan masa solat. Lain pula ceritanya jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi aku berharap perkara itu tidak berlaku.

            Seusai kewajipan fardu itu dikerjakan, aku terus bergegas membersihkan diri memandangkan aku sudah lewat ke sekolah, bukan sebagai pelajar okay! Aku sedarlah, aku agak rendah dan bulat sehinggakan ada yang menyangka aku ni masih di bangku sekolah menengah. Walaupun kata-kata itu agak memuji tetapi aku ni adalah seorang gadis dewasa berusia 27 tahun. Kalau kahwin dan bersusun anak dah bak kata orang-orang tua. Dussh! Macam meludah ke muka sendiri ayat-ayat aku tadi kerana aku sedar bahawa usia aku semakin meningkat dan sepatutnya aku sudah menamatkan zaman bujang aku sejak dari dahulu lagi.

            “Aduhh!”. Kaki kananku tersadung besen penuh dengan air. Tersedar masa sudah mencemburui. Kelam kabut mencapai tuala, terus keluar dari bilik air. Rasakan! Inilah padahnya menonton video ceramah Ustaz Azhar Idrus sampai lewat malam ditambah lagi ada video ceramah gandingan UAI dengan pelawak negara, Zizan. Tak ingat diri tergelak sehingga tubuhku terjelepuk di atas lantai papan rumah. Nasib tidak bergegar rumah. Fuuhh!

            Sebelum menghidupkan enjin kereta, telefon bimbit ku berdering menandakan ada panggilan yang masuk. Terpapar di skrin telefon bimbitku nama "Mama Kesayangan" dan terus aku sambut panggilan itu. Betapa aku rindu akan Mamaku.

            "Assalamualaikum, apa khabar anak mama?" terasa ingin menangis aku kerana merindui suara Mama.

            "Waalaikumsalam Mama, sa sihat ja Mama. Mama dan Papa apa khabar? Rindu sangat sama Mama dan Papa," balasku sambil menahan air mataku.

            "Sihat juga, lama sudah kamu inda telefon Mama, Mama risau itu la Mama telefon sama kamu. Eh, ni si Papa mau cakap sama kamu," Ucap mama dengan suaranya yang begitu merdu di halwa telingaku.

            "Assalamualaikum Sayang. Bahapa tu anak Papa? Sudah di iskul ka?" kini suara Papa yang aku dengar di corong telefon bimbitku.

            "Waalaikumsalam Papa, Teda, baru maw drive ke iskul," jawabku sambil tersenyum mendengar suara kedua-ibu bapaku.

            "La Illah, capat pigi sana! Akhir suda ni kan? Ni mesti bangun lambat kan? Suda, nanti Mama dan Papa call lagi, hati-hati drive sana. Assalamualaikum," leteran Mama pun bermula dan terus membuatkan aku sedar bahawa aku sememangnya sudah lewat.

            "Okay Mama Papa, sa pigi dulu, Mama and Papa jaga diri juga okay? Sayang Mama, sayang Papa. Waalaikumsalam," balasku sambil menghidupkan enjin keretaku dan terus memacu keluar untuk memulakan perjalananku ke Sekolah Kebangsaan Abang Isma No 2.

* * *

            “Hai cik ustazah Wawa, lambat sampai pagi ni? Mimpi apa lagi?” Usik kak Dayang, guru Bahasa Inggeris merangkap rakan segosipku. Aku ini tidak padannya dengan status ‘ustazah’ tapi tumpang seluruh badan bergosip. Hmm, lumrah perempuan. Gosip-gosip pun ada hadnya ya, Ustazah Wawa.

            “Akak ni ada-ada je la. Mana ada. Ralit sangat malam tadi menyemak latihan murid kelas 2 Cempaka malam tadi. Akak tak ada kelas ke pagi ini?” Sepandai-pandai aku berbohong pasti dapat Kak Dayang tahu punya.

            “ Iya lah kamu tu. Entah kamu melayang ke mana, buku latihan entah ke mana. Pagi ini akak tak ada kelas.” Sudah ku bilang. Tidak boleh berselindung. Kak Dayang terus menumpukan matanya ke arah buku rekod mengajar.

            “ Pandai akak ea. Hmm, padan la senyum sampai sepet mata akak itu.” Sengaja aku mengusik kak Dayang mengenai perkara yang paling tidak disukainya itu.

            “ Hei! Sepet jangan sebut ya. Tak pasal penyepit akak ini terkena di pipi Wawa itu. Eh, kamu ada dengar gossip baru tak pasal Cikgu Ramlah?” Mula dah kakak aku seorang ni.
            “Hah, apa pula ceritanya kak? Laki dia nikah satu lagi ke?”

            “Kamu ini, ke situ pula. Ni hah, kak Ramlah kena tipu dengan penjual MLM haritu. Sebab nak untung sangat dan nak ambil jalan mudah nak kaya, beribu hilang duit dia dikebas dek penjual tu. Tengok akak ni, walaupun gaji biasa je tapi akak bersyukur dapat gaji kerajaan ni. Slow and steady je. Tapi penjual tu hensem katanya.” Haha, kelas gitu kak Dayang. Cerita dengan gaya tangan dan siap berspeaking lagi tu, tahulah dia cikgu BI. Opstt. Ustazah Wawa, tak baik kata macam tu. Tak nak. Andue!

            “Wawa!" belum sempat aku menoleh, aku terasa bahu aku dipeluk seseorang.

            Qaseh! Datang menerjah aku sebelum aku sempat berbuat apa-apa. Qaseh atau nama penuhnya Qaseh Zaheerah yang berbangsa Melanau merangkap Cikgu Bahasa Melayu merangkap kawan baikku sehidup semati aku. Qaseh yang bertubuh kecil memang gemar memeluk tubuh gempal aku dan dia ni lebih muda daripada aku tetapi disebabkan jarak umur kami berdua tidak jauh aku lebih rapat dengan dia berbanding guru-guru lain. Tetapi dia ni manja sikit orangnya dan akulah menjadi tempat dirinya mengadu.

            "Ya Allah! Budak kecik seorang ni, buat terkejut saja. Apa Qaseh ni... Salam tak diberi datang-datang terus peluk orang," aku berkata sambil membuat lagak geram dan mencekak pinggang lebarku. Sebenarnya aku tidak marah tetapi sekadar mengusik Qaseh yang tidak suka dipanggil Budak Kecik.

            “ Entah, kau ni Qaseh. Nasib baik si comel ini tak ada penyakit jantung tu.” Celah Kak Dayang.

            “Aloo. Orang gurau pun. Sensitif la dia ni. Tak mau la kawan dengan dia ni.” Muncung sedepa Qaseh dihadiahkan untuk kami.

            “Alamak, ada orang merajuk la. Ok. Kita tengok, berapa lama dia merajuk. Nah! ambil siri Running Man yang seterusnya ni. Wawa pergi dulu. Ada kelas.” Sengaja aku menawarkan video kesukaannya itu.

            “Waahh! Terima kasih, Wawa.” Ada berani nak lawan Wawa. Cair punyalah.        Sambil tersengih aku melangkah keluar dari bilik guru menuju ke kelas 5 Mawar. Gelagat Qaseh membuatkan aku melayang jauh ke terkenang zaman remajaku.

            “Jangan ganggu Wawa! Korang tak penat ya ganggu orang? Pergi sana.”  Ida, rakan sekolahku menjerkah Adif yang tidak lelah menggejek aku. Puas Adif melihat aku teresak-esak menahan sebak.

            “ Wawa. Dah la tu. Janganlah nangis. Biar saja diorang tu. Kau tahu kan Adif tu suka ganggu orang.” Ida masih mencuba memujuk.

            “Aku sedar siapa di aku ini. Tapi aku juga manusia, ada perasaan..” Masih menahan sendu.

            “Diorang tak nampak kelebihan kau. Kau jangan la mudah sangat terasa. Diorang lagi suka tau, bila kau sedih-sedih ini. Hah, mesti kau suka kan benda ini?” Ida menayang Dairy Milk di padanganku dengan menyengih seperti kerang tak lalu makan. Aku pun pantang ditawarkan. Orang kata, rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari.

            Itulah gunanya kawan. Perlulah saling memahami. Sahabat adalah untuk selamanya. "Ermm..". Kedengaran sesuatu di belakangku. Lantas kupaling ke belakang dan entah bagaimana siku aku bagai menusuk sesuatu lalu tertancap mataku benda yang aku Tomoikan itu.

            "Aduh... Belum ucap salam dah kena tibai"....
             



0 comments:

Post a Comment